SEORANG bekas anggota polis yang mendakwa pernah dipukul Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada 2015 tidak akan memfailkan saman sivil terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu berikutan kekangan had masa undang-undang.Peguamnya, Kamal Hisham Ja’afar berkata, tindakan sivil berhubung kejadian yang didakwa berlaku 11 tahun lalu itu terhalang oleh Seksyen 6 Akta Had Masa 1953. Menurut Kamal Hisham, seksyen itu secara amnya menetapkan tindakan undang-undang tidak boleh dimulakan selepas enam tahun dari tarikh kausa tindakan terakru."Oleh itu, pengadu berharap laporan polis yang dibuat pada 2015 dapat diteliti, disiasat dan dipertimbangkan secara adil oleh pihak polis serta Peguam Negara demi kepentingan keadilan."Ini kerana ia satu-satunya ruang dan peluang untuk pengadu mendapatkan keadilan yang tertangguh sejak 11 tahun lalu," katanya dalam kenyataan.Tambah Kamal Hisham, anak guamnya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada budi bicara dan kebijaksanaan Peguam Negara untuk membuat keputusan yang adil dan saksama.Untuk rekod, dakwaan berkenaan membabitkan insiden di Hilir Perak, Perak, ketika Mohd Shuhaily bertugas sebagai ketua polis daerah di situ.Ia kembali mendapat perhatian selepas Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas pertuduhan memukul dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).Berdasarkan rekod, satu laporan polis dibuat terhadap Mohd Shuhaily pada 19 November 2015 berhubung dakwaan berkenaan.Kamal Hisham mendakwa, anak guamnya yang ketika itu masih berkhidmat dalam pasukan polis berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran dalam kerjaya selepas membuat laporan tersebut.Bekas anggota berkenaan dilaporkan akhirnya dibuang daripada pasukan polis. -The Star